Thursday, 24 July 2014

Inkuiri Sejarah

INKUIRI SEJARAH
(Oleh : Mohd On b Ahmad)

Di dalam bilik darjah, kaedah pengajaran sejarah diharapkan dapat meluaskan horizon intelektual, sosial, moral dan kerohanian murid-murid. Justeru kaedah itu perlulah menggalakkan murid berfikir, menyiasat, berbincang, menyelidik, mencungkil aspek-aspek yang tersirat dalam sejarah yang dipelajari. Pengetahuan sejarah perlulah dipelajari dengan menggunakan kaedah yang mencabar daya intelektual pelajar dan menggalakkan mereka berfikir, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan cara menggunakan dan mengaplikasikan pengetahuan sejarah yang mereka pelajari.  

Kebolehan intelektual seperti berhujah secara logik, bernas dan disokong oleh fakta-fakta sejarah dapat dibentuk melalui pendidikan sejarah. Pengajaran sejarah yang berkesan melibatkan operasi mental yang aktif. Pemikiran bercorak induktif dan deduktif menggalakkan daya taakulan yang dapat mengembangkan pemikiran. Pemimpin-pemimpin yang baik dan mempunyai karisme yang tinggi mempunyai asas intelektual yang cemerlang dan mementingkan pemikiran sejarah dalam menentukan haluan pembangunan bangsa dan negara. (Abd. Rahim 1989)

Kaedah ini membolehkan pelajar mendapatkan jawapan dengan usaha sendiri. Kaedah ini menyediakan peluang bagi pelajar memperkembang aras kognitif yang tinggi seperti membuat analisis, sintesis dan penilaian. Pelajar juga boleh membuat andaian daripada data-data dengan pemikiran logikal sama ada induktif atau deduktif. Pembelajaran secara inkuiri juga menggalakkan pemikiran intuitif (Jaizah Mahamud, 2001)  

Menurut Arends (1994) dalam bukunya Learning to Teach, pengajaran inkuiri dan pengajaran discovery (penemuan) digunakan untuk membantu pelajar belajar berfikir. Kaedah inkuiri-penemuan merupakan model dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang penting dalam bidang sains sosial, khususnya dalam mata pelajaran sejarah. Ahli sejarah terkenal seperti Collingwood, Marwick dan Barraclough dalam penulisan mereka menekankan pentingnya penggunaan kaedah inkuiri-penemuan untuk mengembangkan berbagai-bagai kemahiran mempelajari sejarah. Melalui penggunaan kaedah ini ahli sejarah telah berjaya mencungkil, mengolah dan mengembangkan disiplin sejarah sebagai suatu disiplin yang lebih saintifik dan objektif (Abd. Rahim Abd. Rashid, 1998).

Arends (1994) selanjutnya menjelaskan bahawa melalui pengajaran inkuiri pelajar akan mempelajari cara menjana idea melalui soalan-soalan, kemudian mendapatkan jawapan atau memecahkan masalah tentang perkara yang ingin diketahui. Akhirnya mereka membina idea atau teori sendiri berdasarkan penemuan baru yang diperoleh. Dalam proses penemuan itu pelajar memperoleh pengalaman dan keyakinan untuk mencari jawapan kepada soalan-soalan dan masalah-masalah yang mereka minati atau perkara yang perlu diselesaikan. Menurut Abd. Rahim Abd. Rashid (1998), kaedah inkuiri dalam pendidikan sejarah melibatkan kemahiran pemikiran aras tinggi (higher order thinking skills), iaitu perlu menguasai ilmu dengan menggunakan pemikiran, dapat memahami dan dapat mengaplikasikan pengetahuan sejarah kepada situasi baru. Dalam ertikata lain sejarah boleh digunakan sebagai satu rangka penyelesaian masalah.

Selanjutnya Arends (1994) menyatakan strategi pengajaran yang disebut sebagai kaedah dapatan, latihan inkuiri, atau pengajaran induktif telah lama dikenali. Kaedah-kaedah ini merupakan pengaruh daripada kaedah Socratic yang menekankan perbahasan secara induktif dan dialog dalam proses pengajaran yang dilabelkan sebagai ‘pemikiran reflektif’ oleh Dewey (1933). Bruner (1966) memberi penekanan pentingnya pembelajaran penemuan dan bagaimana guru boleh membantu pelajar menjadi ‘constructionist’ atau pembina pengetahuan sendiri.

Kaedah inkuiri juga memerlukan pelajar belajar melalui penyiasatan dan mengembangkan kemahiran menyelidik dan tidak menerima dan membuat sesuatu andaian atau hipotesis melulu tanpa asas inkuiri. Sifat kaedah sejarah yang amat berbeza daripada disiplin lain memerlukan pendekatan pengajaran-pembelajaran inkuiri dikembangkan kepada pelajar. Pendekatan ini juga boleh mendedahkan pelajar kepada sifat sejarah dan bukti-bukti sejarah yang difahami dengan lebih berkesan (Marwick, 1989). Pelajar akan dapat membina kuasa berfikir mereka dengan cara menyelidik dan mentafsir data dan fakta-fakta sejarah yang diperolehi. Dengan menggunakan fakta-fakta dan bukti-bukti sejarah, pelajar dapat menyokong hujah-hujah, membuat analisis, membuat interpretasi, membuat kesimpulan yang konkrit dan membuat perbandingan serta berkemampuan untuk menyangkal fakta-fakta sejarah yang tidak betul dan bersifat propaganda. Bagaimanapun pembelajaran sejarah yang terlampau terikat dengan buku teks menimbulkan kesulitan dari segi penggunaan kaedah inkuiri.

Kaedah inkuiri melibatkan aktiviti pembelajaran seperti membuat pemerhatian, penyiasatan, kerja lapangan, kajian bahan dokumen, artifek dan segala bentuk tinggalan sejarah yang mempunyai nilai-nilai sejarah yang penting. Guru sejarah yang terlatih dalam bidang ini perlu membimbing pelajar mengenai teknik dan cara menjalankan inkuiri supaya pembelajaran yang berkesan dapat dikembangkan kepada pelajar. 


Inkuiri adalah proses mencari. Kaedah ini amat sesuai dalam pembelajaran sejarah, kerana ianya amat sesuai dengan sifat tabii belajar bagi membolehkan seseorang melakukan pencarian dan penemuan.  Kaedah ini juga dikenali sebagai pendekatan pembelajaran reflektif yang boleh mencorakkan seseorang pelajar bersifat kritikal dan analitikal. Teknik penyoalan yang dapat digunakan dengan berkesan dalam pembelajaran sejarah boleh meluaskan intelektual sebagai suatu inkuiri yang dapat menajamkan minda pelajar (Abd. Rahim, 1998).

Menurut Furet, (1983), oleh kerana Sejarah adalah satu ilmu yang boleh dibuat pelbagai interpretasi dari masa ke semasa, pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran seharusnya memberi penekanan kepada proses penyiasatan dan penemuan. Sebolehnya guru harus mengelakkan penggunaan kaedah yang menuntut guru menyampaikan fakta sebanyak mungkin kepada pelajar.

Related Posts:

  • JAMUAN AKHIR TAHUN 3 NOVEMBER 2014Selamat bercuti dan bertukar kepada beberapa Pensyarah JIP Puan Nazifah dan Cik Siti Norkiah … Read More
  • LPS JABATAN - JIPSEPANJANG TAHUN 2014 JIP TELAH MELAKSANAKAN BEBERAPA LATIHAN PERKEMBANGAN STAF (LPS) BERTEMPAT DI BILIK MESYUARAT JIP. LPS INI BERTUJUAN BERKONGSI MAKLUMAT MUTAKHIR DALAM BIDANG PENDIDIKAN UNTUK MEMPERTINGKATKAN  KOPENT… Read More
  • SELAMAT TAHUN BARU 2015SEMALAM TELAH BERLALU BERSAMA LEMBARAN SEJARAH SILAM HARI INI AKU TERJAGA MEMBAWA NUKILAN BARU........ GEMBIRA ..... SEDIH...... SAYU....... AKAN BERULANG TIBA MASA TERTENTU HARAPAN MENGGUNUNG 2015 MELAKAR CITA RA… Read More
  • Kolaborasi JIP IPG KIK bersama UPI PROGRAM PENGANTARABANGSAAN AKADEMIK INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS ILMU KHAS(JIP IPGKIK) dan  FAKULTAS ILMU PENDIDIKAN, UNIVERSITAS PENDIDIKAN INDONESIA (UPU) telah menandatangani satu nota persefahaman bersama pada 7… Read More
  • Inkuiri Sejarah INKUIRI SEJARAH (Oleh : Mohd On b Ahmad) Di dalam bilik darjah, kaedah pengajaran sejarah diharapkan dapat meluaskan horizon intelektual, sosial, moral dan kerohanian murid-murid. Justeru kaedah itu perlulah menggalakkan… Read More

0 comments:

Post a Comment